Tarikh | : 20 MEI 2025 |
Masa | : 9:00 Pagi – 1:00 Petang |
Lokasi | : NADI KG KUALA HILIR OYA |
Peserta | : 30 Peserta |
Tujuan:
Program ini merupakan usaha berterusan untuk memperkukuh keupayaan komuniti dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan berkesan, selaras dengan aspirasi Komunikasi MADANI.
Menurut Pegawai Penerangan Daerah Dalat, Maria Tungkat, program ini berfungsi sebagai landasan penting bagi membina keupayaan peserta dalam aspek penyampaian maklumat secara efektif dan bertanggungjawab, terutama di era maklumat digital yang berkembang pesat.
“Kita mahu komuniti dilatih bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi mampu berkomunikasi secara strategik, beretika dan bersesuaian dengan keperluan masyarakat setempat,” ujar beliau.
Program ini turut diserikan dengan sesi perkongsian ilmu oleh Pegawai Penerangan Daerah Mukah, Syahrulizan Madian selaku penceramah yang mengetengahkan pendekatan komunikasi berkesan melalui pengalaman peribadi beliau dalam bidang pengucapan awam.
Beliau menekankan bahawa pengucapan bukan hanya melibatkan kata-kata, tetapi turut dipengaruhi oleh gerak tubuh, ekspresi wajah serta cara kita memahami khalayak.
Dengan gaya penyampaian yang santai dan penuh inspirasi, Syahrulizan turut menggunakan metafora unik iaitu pensil dan pemadam, sebagai simbolik kepada usaha manusia dalam mencatat pengalaman serta belajar dari kesilapan.
Sepanjang program, peserta didedahkan dengan pelbagai latihan praktikal yang merangkumi asas komunikasi lisan dan visual, penulisan mesej yang berimpak, serta pemanfaatan media sosial secara beretika.
Pendekatan ini memberi ruang kepada peserta untuk mengasah kemahiran dalam suasana pembelajaran yang lebih dinamik dan relevan dengan cabaran komunikasi masa kini.
Melalui pelaksanaan program seperti ini, JAPEN Daerah Dalat berharap dapat melahirkan lebih ramai individu yang berpengetahuan dan bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat sahih di peringkat komuniti.
Inisiatif ini bukan sahaja membentuk penyampai maklumat yang beretika, tetapi turut memperkukuh peranan mereka sebagai barisan hadapan dalam membanteras penyebaran berita palsu serta merapatkan jurang komunikasi antara kerajaan dan rakyat selaras dengan aspirasi Komuniti MADANI.
Disediakan oleh : Kamarulzaman Ahmad (JAPEN DALAT)
Foto : Shahfiq Aqmal/Mohammad Izwan (JAPEN DALAT)
Sumber: Pejabat Penerangan Daerah Dalat
***************************************************************************************************************